Monday 23 December 2019

Umrah 2019 | Part 08 | Madinah | Raudhah (Taman Syurga)

Setelah meneliti beberapa kawasan penting di dalam Masjid Nabawi yang terdiri daripada beberapa kemudahan-kemudahan serta Pintu Babussalam (Pintu Bab As-Salam), maka seterusnya adalah sesi mengintai Raudhah ataupun yang dikenali sebagai Taman Syurga.

 

Daripada laluan Pintu Babussalam sudah kelihatan kawasan Raudhah, akan tetapi dimanakah pintu masuk untuk ke Raudhah ini?


~ Umrah 2019 | Part 08 | Madinah | Raudhah (Taman Syurga) - Mengintai Raudhah ~


Pada awalnya, saya juga agak tertanya-tanya dimanakah pintu masuk ke Raudhah yang terletak di dalam kawasan Masjid Nabawi ini, dan setelah meneliti beberapa kawasan ketika melalui Pintu Babussalam, maka pintu masuk dapat dikenalpasti.

Pintu masuk ke Raudhah sebenarnya terletak bersebelahan dengan Pintu Babussalam, dan jumlah pintu tersebut adalah sebanyak 4 pintu (bagi pintu Raudhah lelaki), manakala pintu masuk ke Raudhah bagi kaum hawa pula terletak disekitar Pintu Masjid bernombor 26.

 
 

Pertama kali saya mengintai Raudhah adalah pada waktu Maghrib, untuk memahami dengan lebih lanjut berkenaan dengan fungsi bagaimana pengurusan masjid mengendalikan kawasan Raudhah ini.

Hasil daripada kajian, setiap jemaah hanya dibenarkan untuk menunaikan solat sunat dua (2) rakaat sahaja ketika berada di dalam kawasan Raudhah ini (termasuk sekali berdoa) sebelum dihalau keluar oleh polis yang menjaga kawasan ini.

 

Selain daripada itu, sebelum azan Isya' dan azan Subuh berkumandang di dalam Masjid Nabawi, pekerja masjid akan memulakan penutupan beberapa kawasan Raudhah (termasuk kawasan menunggu yang terletak berhampiran dengan kawasan Raudhah), bagi memberi laluan kepada jemaah wanita untuk ke Raudhah.

Sewaktu penutupan ini berlaku, kawasan Raudhah lelaki akan dikecilkan sehingga dua per tiga (2/3) daripada keluasan sebenar Raudhah dan selebihnya (1/3) daripada kawasan Raudhah ini dikhususkan kepada jemaah wanita.

Bagi memudahkan proses, doa boleh dilakukan ketika menunaikan solat sunat (diselitkan didalam bacaan). Solat sunat pula boleh dilakukan mengikut kehendak masing-masing, samada solat sunat taubat, solat sunat hajat mahupun solat-solat sunat yang lain.


~ Umrah 2019 | Part 08 | Madinah | Raudhah (Taman Syurga) - Pengalaman Menawan Raudhah ~

 

Bagi menawan Raudhah, saya telah bangun dari tidur seawal jam 1.30 pagi waktu tempatan (kira-kira jam 6.30 pagi waktu Malaysia) dan berjaya tiba di perkarangan Masjid Nabawi lima (5) minit selepas itu.

 

Maka, tanpa membuang masa yang panjang, saya terus bergegas ke kawasan menunggu Raudhah. Alhamdulillah, dengan berkat dan kesenangan yang Allah s.w.t berikan, saya dapat terus masuk ke kawasan menunggu yang betul-betul bersebelahan dengan Raudhah.

 
 

Setelah menunggu kira-kira 30 minit (jam menunjukkan pada 2.05 pagi), saya terperasan bahawa kawasan menunggu kami telah ditutup belakangnya untuk mengelakkan lagi jemaah untuk masuk ke dalam kawasan menunggu yang sedang saya berada.

Tepat pada jam 2.15 pagi, maka pintu depan pun dibuka dan semua jemaah berpusu-pusu dengan berlari anak-anak untuk mengambil tempat di dalam kawasan Raudhah untuk menunaikan solat sunat dua (2) rakaat.

 

Setelah saya selesai menunaikan solat sunat dua (2) rakaat, dan setelah selesai berdoa (serta membaca kiriman doa dari sahabat-sahabat dari tanah air Malaysia), maka saya pun bangun untuk memberi laluan kepada para jemaah lain untuk menunaikan ibadah di sini.

Setelah mengambil beberapa gambar di dalam kawasan Raudhah (kawasan terlalu padat, dan sukar untuk keluar), tiba-tiba saya mendengar suara menyapa dari belakang memanggil-manggil "Hajj! Hajj!"

 
Gambar yang diambil secara candid~

Apabila saya menoleh kebelakang, ternampak penjaga masjid sedang membuka penghadang yang membahagikan kawasan Raudhah Jemaah Lelaki dan Jemaah Perempuan, kira-kira lebih kurang jam 2.30 pagi.

"Hajj! Hajj! Belakang, Belakang!"

 

Saya agak terpingga-pingga juga pada asalnya, kerana di dalam hati ingin keluar daripada kawasan Raudhah untuk memberikan peluang kepada jemaah lain, namun tidak sangka Allah s.w.t telah memberikan saya peluang untuk meneruskan ibadah di dalam Raudhah.

Tanpa membuang masa, saya terus kebelakang berdekatan dengan tiang terakhir menunjukkan kawasan Raudhah dan menunaikan lagi dua (2) solat sunat; Solat Sunat Taubat dan Solat Sunat Hajat. 

 

Setelah selesai berdoa, gambar diambil bagi tujuan kenang-kenangan (serta panduan kepada para pembaca), dan saya terus berjalan perlahan-lahan untuk keluar daripada kawasan Raudhah bagi memberi peluang kepada jemaah yang lain.

 

Alhamdulillah, selesai saya menunaikan amanat yang diberikan kepada saya oleh sahabat-sahabat yang masih belum sempat untuk datang menunaikan ibadah Umrah.


**********

Sampai disini sahaja perkongsian saya berkenaan dengan Raudhah (Taman Syurga) pada kali ini. Jumpa lagi di post yang akan datang.

Bubbyeee~~~~~

No comments:

Post a Comment